Sabtu, 8 Disember 2012

KEKABU


Malaysia, sebuah negara beriklim khatulistiwa yang dikurniakan Allah s.w.t. dengan kekayaan biodiversiti yang masih banyak belum diterokai dan dikaji oleh manusia. Kepelbagaian flora di Malaysia sahaja, bukan sedikit yang boleh dibincangkan. Saya amat meminati kecantikan dan keunikan alam flora di tanahair sendiri sejak kecil lagi. Seringkali jika saya terjumpa pokok-pokok bunga yang unik dan cantik, terlopong juga mulut dibuatnya.Tidak kiralah sama ada pokok itu adalah dari baka tulen atau telah dikacukkan dengan pelbagai kaedah bioteknologi. Salah satu jenis pokok yang saya yakin sudah tidak dikenali oleh ramai rakyat Malaysia kini ialah pokok kekabu. Maklumlah sekarang nak apa sahaja, semua boleh dibeli asalkan ada pulus. Nak tidur pun, boleh beli pelbagai jenis bantal. Tak kisahlah apa jenis gentian yang digunakan di dalamnya. Saya yakin ramai rakyat Malaysia kini sudah tidak tidur berbantalkan bantal kekabu. Sebab utamanya ialah kerana kesukaran untuk mendapatkannya. Maka dalam blog saya ini, saya akan kongsikan seberapa banyak maklumat mengenai kekabu berbantukan gambar-gambar dari lensa saya sendiri. 


Pokok kekabu (bersebelahan pokok kelapa) tumbuh terbiar di tepi sebuah jalan raya


Dari segi taksonomi, pokok kekabu atau kapok yang nama saintifiknya Ceiba pentandra diletakkan di bawah famili Malvaceae dalam order Malvales. Ia berasal dari Mexico, Amerika Tengah dan Carribbean, Amerika Selatan dan Afrika Barat. Tapi kini ia tumbuh melata di Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Indonesia. Pokok kekabu ialah simbol suci bagi puak Maya. Pokok kekabu boleh mencapai ketinggian 60m hingga 70m atau 200 kaki hingga 230 kaki. Morfologi pokok kekabu juga sangat menarik untuk dikaji. Batang pokok kekabu berbentuk silinder, licin dan berwarna kelabu. Duri kelihatan pada pangkal batang pokok kekabu untuk perlindungan. Akar banir pokok kekabu boleh tumbuh menjalar di atas tanah sehingga 30 kaki untuk menstabilkan pokok. Dahan-dahan pokok kekabu tumbuh memanjang secara mendatar.


Batang kekabu yang lurus


 Alga dan lumut juga hidup menumpang pada batang pokok kekabu
































.


Batang pokok kekabu berduri untuk perlindungan kepada pokok


Akar banir pokok kekabu tumbuh menjalar untuk sokongan kepada pokok


Kanopi pokok kekabu berbentuk seperti payung terbuka (dom). Banyak jenis haiwan seperti burung-burung menumpang hidup atas dahan pokok kekabu. Daunnya dari jenis palmat yang terdiri daripada 5 hingga 9 helai daun dalam setiap gugusan. Panjang sehelai daun pokok kekabu sekitar 7 hingga 8 cm dan lebarnya antara 1 hingga 3.5 cm. Sering kelihatan pokok-pokok kekabu meluruhkan daunnya terutama ketika musim ia sedang berbuah. Bunga pokok kekabu pula tumbuh pada hujung dahan, berwarna putih atau merah jambu pucat. Bau bunganya tidak harum tetapi sesuai untuk menarik perhatian kelawar untuk menjalankan pendebungaan.

Pokok kekabu : bentuk dom (payung terbuka)



Daun pokok kekabu luruh semasa musim ia berbuah


Daun kekabu jenis palmat

Ceiba Tree flowers are off white with loads of nectar. The Ceiba or yaaxche tree is sacred to the Maya since ancient times.
Bunga pokok kekabu


Biji benih kekabu bulat berwarna hitam terdapat bersama dengan gentian kekabu di dalam kelongsong  buahnya. Buah kekabu yang matang keras, seperti berkayu, licin dan berwarna kelabu kehijauan. Pada musim buah, buah-buah kekabu kelihatan berjuntai pada hujung julai dahan. Sebatang pokok kekabu boleh menghasilkan kira-kira 500 hingga 4000 biji buah dengan penghasilan kurang daripada 3 kg kekabu. Buah-buah kekabu akan pecah semasa masih di atas pokok selepas daun-daunnya gugur. Di dalam buah kelihatan gentian seakan-akan kapas menyelaputi biji-biji kekabu yang dinamakan kekabu. Kadang-kadang kelihatan sejenis serangga berwarna kemerahan pada kekabu. Gigitan serangga tersebut mungkin berbisa kepada manusia. Kekabu ringan, maka ia mudah terbang ditiup angin. Biji-biji benih pokok-pokok besar seperti pokok kekabu memang mudah disebarkan oleh angin berbanding dengan agen  lain seperti air dan haiwan. Pokok-pokok yang disebarkan oleh haiwan biasanya tidak tinggi dan mempunyai buah yang rasanya sedap serta warna yang menarik dipandang.


Buah-buah kekabu muda menjulai di hujung ranting


Buah-buah kekabu masak ..................  emmmmmm geramnya!


Perhatikan empulur kekabu ... macam empulur jagung


Kebiasaan buah kekabu merekah semasa di atas pokok lagi


Buah kekabu ini istimewa ... dah tertanggal kelongsongnya


Seindah Sakura .........


Kekabu yang gebu dari kelongsong buahnya yang telah merekah



Sejenis serangga berwarna kemerahan didapati sering berdampingan dengan kekabu


Ketika saya masih di bangku sekolah rendah, ada jugalah pengalaman saya memproses kekabu dari mula hingga siap menjadi bantal. Ketika itu, Allahyarhamah moyang saya sangat rajin menyediakan hampir kebanyakan keperluan rumah dengan hasil tangannya sendiri. Buah-buah kekabu yang gugur dikutipnya dan dikumpulkan dalam guni sehingga banyak. Kemudian kekabu ditarik keluar dari kelongsong buah kekabu, dicarik-carik dan dijemur atas plastik atau tikar mengkuang di bawah pancaran cahaya matahari hingga kering. Kekabu dikumpulkan lagi dalam guni sehingga banyak. Bila sudah mendapat kuantiti tertentu, aktiviti membuat bantal kekabu pun dilakukan pada masa lapang. Orang-orang kampung ketika itu biasa membuat semua kerja secara bergotong-royong. Sambil berbual-bual di waktu petang di bawah rumah (rumah tradisional Melayu), tangan wanita-wanita sibuk mengisi gentian kekabu dalam batang bantal, lantas menjahitnya untuk menyiapkan bantal. Suasana begitu sudah sukar untuk dialami lagi kini. Rumah-rumah orang-orang Melayu di kampung-kampung kini sudah berbentuk moden tanpa tiang tinggi dan tangga. Jadi mana mungkin nak duduk bersantai di bawah rumah kerana rumah sudah separas tanah. 


Sebuah contoh rumah kampung Melayu


Yang menyedihkan, sering pokok-pokok kekabu  tumbuh sepi di tepi-tepi jalanraya seolah-olah tidak bertuan walaupun bersebelahan dengan rumah. Bila tiba musim buah kekabu masak, buah-buah kekabu dan gentiannya bertaburan di atas jalan raya bahkan ada yang berterbangan ke sana sini umpama bunga lalang ditiup angin. Kasihan.... Bagi usahawan produk kekabu, mereka memahami bahawa kekabu mentah yang dijual di pasaran Malaysia adalah diimport dari negara jiran seperti Indonesia dan Thailand. Pokok kekabu sering kelihatan tumbuh di tepi jalan raya di kawasan perkampungan. Pokoknya yang tinggi dan besar itu akan lebih mudah dikenalpasti semasa musim buah kekabu masak. Pada masa itu, pokok kekabu kelihatan memutih dengan kekabu bertaburan di atas jalan raya. 


Kekabu bertaburan ... suatu pembaziran!


Beginilah rupa kekabu mentah yang siap dibungkus dan dijual di pasaran





Ikhlas berkongsi ilmu,